KUALA LUMPUR, 28 Julai - Yang di-Pertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul dijadualkan menghadiri Persidangan Speaker-Speaker Parlimen Sedunia ke-6 yang berlangsung dari 28 hingga 31 Julai ini di Palais des Nations, Geneva.
Pejabat Yang Dipertua Rakyat Parlimen Malaysia menerusi kenyataan memaklumkan, persidangan berimpak tinggi itu dianjurkan bersama Kesatuan Antara Parlimen (IPU) dan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), menghimpunkan lebih 110 speaker Parlimen dari seluruh dunia.
Kehadiran Tan Sri Johari yang juga Presiden Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA), mencerminkan komitmen parlimen ASEAN untuk memainkan peranan aktif dalam memperkukuh kerjasama antara parlimen, memelihara multilateralisme, memperjuangkan keselamatan kolektif, serta memartabatkan keterangkuman sejagat di tengah ketegangan geopolitik yang semakin meruncing.
"Tan Sri Johari dijadual menyampaikan ucapan dalam sesi debat umum bertemakan 'Dunia yang Bergolak: Kerjasama Parlimen dan Multilateralisme demi Keamanan, Keadilan dan Kemakmuran untuk Semua' pada 29 Julai ini.
"Dalam ucapannya, beliau akan mengangkat suara Malaysia dalam memperjuangkan sistem antarabangsa yang berteraskan undangundang, prinsip keadilan, serta institusi parlimen yang bebas dan berdaya tahan," menurut kenyataan itu.
Tan Sri Johari juga akan menegaskan pendirian Malaysia terhadap penindasan berterusan ke atas rakyat Palestin di Gaza, dan menyeru agar parlimen-parlimen dunia tidak terus membisu apabila prinsip asas kemanusiaan dan undang-undang antarabangsa dilanggar.
Beliau juga dijadualkan mengadakan pertemuan dan perbincangan bersama beberapa pemimpin legislatif dunia, termasuk wakil dari Iran untuk membincangkan usaha menegakkan Piagam PBB dan undang-undang antarabangsa bagi menjamin keamanan serta keselamatan.