KUALA LUMPUR, 28 Julai - Sebanyak 1,766 kes pengabaian dan penderaan haiwan telah disiasat Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) dari tahun 2020 hingga Jun tahun ini.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, kementerian itu telah memperkenalkan Pelan Strategik Kebajikan Haiwan Kebangsaan 2021–2030 dalam usaha menangani isu ini secara bersepadu.
"Berdasarkan laporan Jabatan Perkhidmatan Veterinar dari tahun 2020 sehingga Jun 2025 sebanyak 1,766 aduan berhubung pengabaian dan penganiayaan haiwan telah disiasat.
"Daripada jumlah tersebut, sebanyak lima puluh dua (52) kes telah berjaya disabitkan bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Ahli Parlimen Subang, Wong Chen berkenaan rangka kerja kebangsaan yang menyeluruh untuk menangani penderaan haiwan terbiar di Dewan Rakyat.
Menerusi pelan strategik itu, ia menjadi rangka kerja jangka panjang untuk memastikan pengurusan haiwan di Malaysia mematuhi piawaian kebajikan dan membentuk masyarakat penyayang terhadap haiwan.
"KPKM dan DVS juga sentiasa bekerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO), pihak berkuasa tempatan dan pakar kebajikan haiwan bagi pembangunan berterusan untuk memperkukuhkan kebajikan haiwan," katanya lagi.
Antara inisiatif utama termasuk program libat urus dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi kawalan haiwan terbiar, pengurusan aduan melalui Sistem MyAnimal Welfare, kempen kesedaran awam, serta pembangunan modul pendidikan kebajikan haiwan untuk prasekolah.
KPKM melalui DVS amat mengambil berat tentang isu penderaan dan pembunuhan haiwan di negara ini khususnya yang berkaitan dengan haiwan terbiar.