fb fb fb fb fb

RUU mewajibkan pendidikan menengah dibentang di Dewan Rakyat

Wong Kah Woh

PARLIMEN, 28 Julai - Rang Undang-Undang (RUU) Pendidikan (Pindaan) 2025 yang bertujuan mewajibkan pendidikan menengah dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat, hari ini.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh ketika membentangkan RUU itu berkata, bacaan kali kedua dan ketiga akan dibuat pada persidangan kali ini.

Dalam pada itu, Fasal 2 RUU tersebut bertujuan meminda Seksyen 2 Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) bagi menggantikan takrif 'pendidikan wajib', termasuk pendidikan menengah.

Fasal 3 pula bertujuan meminda Seksyen 29A (2) Akta 550 memperuntukkan setiap ibu bapa yang anaknya adalah warga tempatan dan menetap di negara ini perlu memastikan mereka didaftarkan di sekolah rendah dan terus menjadi murid sepanjang tempoh pendidikan rendah.

Sehubungan itu, pendaftaran perlu dibuat jika anak terbabit sudah mencapai umur enam tahun pada hari pertama Januari dalam tempoh persekolahan semasa didaftarkan sebagai murid di sekolah rendah.

Fasal 4 bertujuan memasukkan seksyen baharu 32A, iaitu mengenai pendidikan menengah wajib ke dalam akta itu.

Seksyen dicadangkan itu bertujuan memberi kuasa kepada menteri untuk menetapkan pendidikan menengah menjadi menjadi pendidikan wajib.

Selain itu, mengecualikan mana-mana murid atau pelajar daripada kehendak supaya mengikuti pendidikan wajib dan membuat peraturan melaksanakan peruntukan berhubung pendidikan menengah wajib.

Seksyen sama juga memperuntukkan setiap ibu bapa yang anaknya warga tempatan dan menetap di negara ini perlu memastikan mereka didaftarkan sebagai murid di institusi pendidikan menengah sepanjang tempoh berkenaan serta penalti bagi pelanggaran Subseksyen 32A (2) dicadangkan.

RUU berkenaan membabitkan perbelanjaan wang tambahan kerajaan yang jumlahnya belum dapat ditentukan ketika ini.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI