fb fb fb fb fb

Anwar terima ucapan tahniah daripada Joe Biden

KUALA LUMPUR, 28 Januari - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima ucapan tahniah daripada Presiden Amerika Syarikat Joe Biden semalam.

Menerusi catatan di Facebooknya, Anwar berkata Biden turut memuji kehebatan demokrasi Malaysia yang ditonjolkan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada November tahun lalu.

Tambah Anwar, Biden turut menyatakan komitmennya untuk mengukuhkan hubungan dengan Malaysia dalam sektor ekonomi digital, krisis cuaca dan sekuriti tenaga.

“Saya berharap untuk dapat bekerjasama dengan beliau (Biden) bagi manfaat bersama seluruh rakyat,” katanya dalam hantaran Facebook pada Jumaat.

Anwar turut memuat naik ucapan tahniah daripada Biden yang bertarikh 24 Januari itu.

"Demokrasi di seluruh dunia ketika ini berhadapan dengan cabaran baharu yang belum pernah ditempuhi sebelum ini, dan pilihan raya di Malaysia menunjukkan bahawa demokrasi boleh membawa kejayaan. Berjuta-juta rakyat Malaysia telah bangkit bersuara - mengundi dalam pilihan raya umum, ramai juga yang mengundi buat pertama kali.

“Penglibatan sivik adalah asas kepada masyarakat bebas serta terbuka, dan rakyat Malaysia memberi inspirasi kepada orang ramai di seluruh dunia dengan komitmen mereka untuk melaksanakan kebebasan asas yang dinikmati,” katanya.

Biden berkata hubungan Malaysia dan Amerika Syarikat dibina di atas asas kukuh ekonomi yang sentiasa berkembang, keselamatan dan hubungan sesama rakyat yang turut membantu mengukuhkan kebebasan, keselamatan serta kemakmuran di Indo-Pasifik.

Biden turut berharap pada tahun-tahun mendatang kedua-dua negara dapat memperkukuhkan lagi perkongsian bersama termasuk membina pertumbuhan ekonomi yang inklusif dan rantaian bekalan yang berdaya tahan melalui Rangka Kerja Ekonomi Indo-Pasifik.

“Bersama, kita boleh majukan wilayah yang bebas, terbuka, selamat dan makmur - yang memberi manfaat kepada rakyat kedua-dua negara,” katanya.

Pada 24 November tahun lalu, Anwar dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10 di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara.

Sejak beliau mengangkat sumpah sebagai perdana menteri, Anwar telah mengadakan lawatan rasmi ke luar negara iaitu ke Jakarta pada 8 Jan dan dua minggu kemudian beliau ke Brunei pada 24 Jan.

Beliau dijadual mengadakan lawatan rasmi ke Singapura akhir bulan ini.

Media Baharu