fb fb fb fb fb

'Saya dihukum tanpa diberi ruang membela diri' - Noh Omar

KUALA LUMPUR, 28 Januari - Bekas Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar yang baru dipecat daripada UMNO akui tidak sanggup meninggalkan parti keramat itu.

Sebaliknya, bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang itu menerusi kenyataan ringkasnya di Facebook berkata beliau memilih untuk tidak bersekongkol dengan pemimpin yang menguburkan UMNO.

"Saya tidak sanggup tinggalkan parti keramat ini, tapi saya memilih untuk tidak bersekongkol dengan pemimpin yang menguburkan UMNO.

"Saya bersuara, akhirnya dihukum tanpa diberi ruang membela diri," katanya.

Terdahulu, Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO malam tadi memutuskan untuk menggantung keahlian Noh selama enam tahun.

Bagaimanapun, Noh mencabar Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi supaya memecat keahliannya terus daripada parti.

Noh Omar pernah memenangi enam 6 penggal berturut-turut kerusi di Parlimen Tanjung Karang sebagai wakil rakyat Barisan Nasional (BN) UMNO sejak tahun 1995 iaitu pada Pilihan Raya Umum Ke-9 (PRU9).

Bagaimanapun, pada PRU15 Noh tidak terpilih sebagai calon sebaliknya BN menampilkan wajah baharu iaitu Datuk Habibah Mohd Yusof.

Pada PRU14, Noh mengalahkan calon BERSATU, Datuk Dr Zulkafperi Hanafi dan nor Az Azlan Ahmad mewakili PAS dengan majoriti tipis 1, 970.

Selain Noh, bekas Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin juga dipecat daripada UMNO.

Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan mengesahkan pemecatan kedua-dua mereka disebabkan pelanggaran disiplin parti mengikut Perlembagaan UMNO kerana kesalahan sewaktu PRU15.

Turut dipecat ialah lima ahli UMNO Bahagian Pasir Gudang, sembilan ahli UMNO Bahagian Putrajaya, dua ahli UMNO Bahagian Tanjung Karang dan 26 ahli UMNO dari Pahang.

Berita Berkaitan:
Noh, Khairy sah dipecat daripada UMNO, Hishammuddin digantung enam tahun
'Tidak tunduk, terkesan atau kecewa' - Khairy

Media Baharu