(Foto hiasan)
KUALA LUMPUR, 24 September- Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) diminta untuk memastikan kewibawaan institusi kehakiman syariah untuk menegakkan keadilan serta mengamalkan budaya kerja profesional.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata, "JKSM perlu menjunjung tinggi titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenaan pengurusan Mahkamah Syariah.
"Perkara itu termasuk kedudukan hakim dan peguam syarie perlu terus diperkasa dan ditambah baik bagi menambah kewibawaan sistem perundangan Islam di negara ini," katanya dalam satu kenyataan.
Selain itu Al-Sultan Abdullah bertitah agar Mahkamah Syariah mesti bijak menggunakan kuasa budi bicara dan sentiasa berlaku adil kepada semua pihak dalam membuat keputusan terutamanya dalam menyelesaikan kes kekeluargaan dan juga jenayah syariah.
Menurut Mohd Na'im, "keadilan dalam perundangan dan kekeluargaan juga dapat memperkukuh institusi kekeluargaan yang berpegang teguh kepada nilai agama selain mengelakkan berlakunya keruntuhan rumah tangga."
Selain menjadi rujukan khidmat nasihat serta menyelesaikan masalah kekeluargaan selaras dengan tuntutan agama institusi itu juga tanggungjawab menegakkan keadilan demi kemaslahatan masyarakat.
(Tangkap layar kenyataan media Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar)