BENTONG, 24 September- Calon Barisan Nasional (BN) Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Negeri (DUN) Pelangai Datuk Amizar Abu Adam akan meneruskan 'Legasi Pelangai' sebagai naratif utama pada kempen PRK DUN itu.
Jelas Amizar ia menjadi tanggungjawabnya untuk meneruskan program yang telah dirancang Allahyarham Datuk Johari Harun di DUN berkenaan.
Antara fokus yang akan diberikan kepada inisiatif tersebut adalah membabitkan pembangunan anak muda di sini.
"Kita akan meneruskan legasi Pelangai kerana ia cukup indah dan kita akan menambah sedikit elemen anak muda dan belia. Ada sedikit penambahan daripada pelan tindakan yang telah dibuat Allahyarham Datuk Johari. Jadi perkara itu kita akan tambah nilai," katanya kepada pemberita selepas sesi ramah mesra bersama jentera kempen di Felda Kemahal dan Kampung Bukit Gajah.
Berdasarkan statistik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) DUN Pelangai mempunyai jumlah pengundi muda seramai 3,728 orang berusia antara 18 hingga 29 tahun.
Dalam pada itu Amizar Abu Adam turut berharap semua calon bertanding akan berkempen secara sihat tanpa elemen sensitif khususnya memlibatkan unsur 3R (raja, agama dan kaum).
Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) lalu Allahyarham Datuk Johari Harun menang kerusi DUN Pelangai dalam pertandingan empat penjuru dengan majoriti 7,308 undi.
(Datuk Amizar Abu Adam)