fb fb fb fb fb

JKR Kelantan laksana 58 projek sambungan

FOTO HIASAN

KOTA BHARU, 22 Januari - Sebanyak 58 projek sambungan di negeri Kelantan akan diuruskan dalam pembinaan bernilai RM874 juta tahun ini, kata Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Kelantan Mohd Suhaili Ismail.

Projek itu merangkumi pelbagai skop kerja termasuk projek bangunan dan pembinaan jalan raya melibatkan beberapa kementerian.

Katanya di Kelantan, projek paling banyak adalah bawah Kementerian Pendidikan dan diikuti Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah.

"Antara projek berkenaan ialah naik taraf sekolah daif, pembinaan Sekolah Menengah Berasrama Penuh Integrasi Tanah Merah dan sebuah sekolah baharu di Tok Bali," katanya kepada pemberita selepas Majlis Apresiasi JKR Kelantan Tahun 2023 di sini malam tadi.

Mohd Suhaili berkata JKR Kelantan akan turut mengurus projek yang telah diluluskan di bawah Rolling Plan 3 (RP3) dan Rolling Plan 4 (RP4) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bermula tahun ini.

Sebahagian projek RP3 telah bermula dan Surat Setuju Terima (SST) juga sudah dikeluarkan.

Sementara itu, ditanya perkembangan terkini projek pembinaan jalan kekal di KM73.85 Jalan Dabong - Jeli (FT 066) berhampiran Kampung Kubur Datu di Jeli, beliau berkata ia masih dalam fasa reka bentuk.

Pada 6 Januari lepas, media melaporkan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata projek pembinaan jalan kekal itu dijadual siap dalam masa dua bulan sebelum perayaan Aidilfitri dengan kos RM700,000.

TETITIA YUSOFF