fb fb fb fb fb

JKNK tempatkan 1,086 anggota untuk MTL gelombang kedua

FOTO FAIL

KOTA BHARU, 16 Disember - Seramai 1,086 anggota Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) ditugaskan sepanjang musim Monsun Timur Laut (MTL) yang kini memasuki gelombang kedua.

Pengarah JKNK Datuk Dr Zaini Hussin berkata, anggota berkenaan terdiri daripada 341 orang pasukan kesihatan dan 745 orang pasukan perubatan yang ditugaskan di pusat pemindahan sementara (PPS).

Sebanyak 3,048 kes di PPS direkodkan dan dirawat melibatkan kes penyakit berjangkit, penyakit tidak berjangkit serta kecederaan ringan, sejak banjir gelombang pertama bermula 21 November lalu.

Jelasnya, penyakit utama yang dikesan melibatkan jangkitan saluran pernafasan atas dan penyakit kulit seperti kudis.

"Selain itu, hingga semalam terdapat 11 kes antenatal, satu kes hemodialisis dan satu kes paliatif mangsa banjir yang dipindahkan ke hospital.

"Kesemua kes tersebut adalah dari Pasir Mas kecuali tujuh kes antenatal dari Pasir Puteh selain tiada kes postnatal yang dipindahkan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata JKNK juga melalui pasukan bantuan awal psikologi (PFA) turut mengadakan aktiviti sesi relaksasi, terapi seni dan psikopendidikan terhadap 365 penghuni PPS dan 44 sesi kepada anggota barisan hadapan.

Dr Zaini menasihatkan orang ramai agar sentiasa minum air bersih dan digalakkan minum air yang dibotolkan serta memastikan makanan yang diambil tidak tercemar.

“Bagi penduduk terjejas banjir genang, diminta segera ke klinik jika mengalami gejala demam, selesema, batuk dan sakit tekak untuk mengenal pasti mereka tidak dijangkiti Leptospirosis.

"Pihak jabatan telah membuka Bilik Gerakan Bencana di empat daerah yang terlibat banjir iaitu di Kuala Krai, Tanah Merah, Pasir Mas dan Machang bertujuan menyelaraskan aktiviti kawalan dan pencegahan penyakit serta kemalangan akibat kejadian banjir,” katanya lagi.

TETITIA YUSOFF