fb fb fb fb fb

JKNK periksa 6,957 premis makanan, 72 diarah tutup

Foto RTM

KOTA BHARU, 28 Disember - Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) memeriksa sebanyak 6,957 premis makanan di seluruh negeri itu sepanjang tahun ini menerusi pelbagai operasi penguatkuasaan.

Pemeriksaan melibatkan kedai makan, gerai, restoran, kilang memproses makanan serta pasar Ramadan itu mendapati, 69.57 peratus atau 4,840 premis mencapai gred A dari segi tahap kebersihan.

Menurut Pengarah JKNK, Datuk Dr Mohd Azman Yacob, 26.06 peratus premis mencatat gred B, manakala 4.37 peratus lagi berada pada gred C.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan penilaian tersebut belum menggambarkan sepenuhnya tahap kebersihan sebenar premis makanan di Kelantan memandangkan jumlah pemeriksaan hanya melibatkan kira-kira 60 peratus daripada keseluruhan premis yang beroperasi.

Hasil pemeriksaan jelasnya turut mendapati 72 premis gagal mematuhi tahap kebersihan yang ditetapkan dan telah diarahkan tutup selama 14 hari di bawah Seksyen 11, Akta Makanan 1983.

"Sebanyak 2,813 notis juga telah dikeluarkan di bawah Peraturan-peraturan Kebersihan Makanan 2009, melibatkan nilai kompaun keseluruhan sebanyak RM519,950.

"Selain itu, 79 notis turut dikeluarkan di bawah Peraturan-peraturan Makanan 1985, dengan jumlah kompaun mencecah RM46,600," tambah beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menegaskan pemilik premis serta pengendali makanan bertanggungjawab memastikan kebersihan premis sentiasa berada pada tahap terbaik demi keselamatan pengguna.

EZA YUSMAWATI YAACOP