KUALA LUMPUR, 28 Disember - Pelaksanaan Akta Keselamatan Dalam Talian (ONSA) menamatkan sikap sambil lewa pengendali platform media sosial dalam membendung jenayah siber.
Pensyarah Kanan Fakulti Sains Komputer dan Matematik Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Norkhushaini Awang berkata, kemajuan teknologi digital membuka ruang kepada penyalahgunaan dan penipuan dalam talian.
Menurutnya ONSA berperanan sebagai perisai perundangan bagi memastikan keselamatan pengguna internet serta meningkatkan sifat bertanggungjawab platform media sosial.
“Adanya pelaksanaan ONSA, ia memberi kebertanggungjawaban kepada pengguna internet. Kita tahu sebelum ini platform media sosial seolah-olah tidak mengambil berat tentang pendaftaran pengguna media platform.
“Maka, dengan adanya ONSA perkara ini lebih tegas dan ini juga merupakan salah satu perisai perundangan kepada anak-anak dan kita juga ingin mengelakkan daripada penganiayaan seksual,” katanya ketika dihubungi RTM.
Sementara itu, Pensyarah Pusat Perdana, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Madya Dr Mazlan Ali berpandangan pelaksanaan ONSA mampu mengawal pendaftaran akaun media sosial oleh kanak-kanak bawah 16 tahun.
Tegasnya, akta itu juga dapat mengekang pembukaan akaun media palsu yang sering digunakan bagi tujuan penipuan dan jenayah dalam talian melalui pelaksanaan sistem pengesahan identiti Electronic Know Your Customer (eKYC).
“Sebilangan besar daripada pengguna media sosial ini adalah kanak-kanak maka secara tidak langsung ia telah menapis dan mengurangkan risiko kepada kanak-kanak daripada terjebak di dalam perkara yang berbahaya di media sosial," katanya.
Profesor Madya Dr Mazlan berkata akta itu mampu untuk membentuk persekitaran media sosial yang lebih selamat dan bertanggungjawab.
“Namun, kesan daripada larangan ini sebenarnya tidak menjejaskan perspektif pendidikan kanak-kanak di bawah umur ini kerana secara tidak langsung mereka telah dididik untuk memilih kandungan yang lebih sesuai,” tambahnya.