fb fb fb fb fb

'Jika mahu menuding, mesti disertakan dengan bukti' - Mufti Perlis

Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin

KANGAR, 28 Disember — Mufti Perlis menggesa mana-mana pihak yang mendakwa wujud krisis politik membabitkan jawatan Menteri Besar Perlis berpunca daripada isu projek untuk tampil beri penjelasan secara jelas, spesifik dan berfakta.

Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata dakwaan wujud tekanan terhadap Menteri Besar untuk meluluskan projek tertentu tanpa mengikut peraturan tidak wajar dibiarkan tanpa bukti kerana boleh menjejaskan imej institusi Raja dan pentadbiran negeri.

Katanya, isu agama dan sistem pemerintahan tidak wajar dieksploitasi hingga menimbulkan persepsi negatif dalam kalangan masyarakat.

"Apabila saya membaca kenyataan yang menyebut kononnya wujud isu projek, saya sendiri tertanya-tanya projek apa dan di mana. Saya bertanya kepada Tuanku Raja, dan Tuanku menyatakan supaya perkara itu dijelaskan secara spesifik.

"Walaupun kenyataan itu tidak merujuk kepada mana-mana individu, ia tetap boleh mencetuskan persepsi negatif, misalnya dakwaan Menteri Besar meletakkan jawatan kerana tekanan meluluskan perkara yang tidak mengikut peraturan.

"Siapa yang boleh meletak Menteri Besar? Itu satu persepsi yang sangat buruk. Saya bukan hendak membela sesiapa, tetapi jika mahu menuding, mesti disertakan dengan bukti. Jika tidak, ia amat membimbangkan, apatah lagi apabila perkara seperti ini dibawa atas nama agama,” katanya dalam sesi audiosiar bertajuk Krisis Politik: Antara Agama dan Kuasa.

Pada 25 Disember lalu, Mohd Shukri Ramli yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang mengumumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Besar Perlis secara sukarela atas faktor kesihatan.

Beliau juga dan telah mempersembahkan surat peletakan jawatan kepada Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, pada hari sama.

GRACE AISYAH KEDAYAN