GEORGE TOWN, 28 Disember -Majlis Pembangunan Bumiputra Pulau Pinang (MPBPP) akan mempergiat inisiatif pembangunan belia Bumiputera melalui pelbagai program berfokuskan kemahiran, keusahawanan dan industri mulai tahun hadapan.
Langkah itu bertujuan mencungkil bakat belia Bumiputera agar lebih berdaya saing serta tidak terpinggir daripada arus pembangunan sosioekonomi negeri.
Pengerusi MPBPP, Tan Sri Khalid Ramli berkata, tumpuan utama ketika ini adalah memperkasakan belia dalam pelbagai bidang yang relevan dengan keperluan semasa industri di Pulau Pinang.
“MPBPP kini memberi penekanan kepada pembangunan belia Bumiputera supaya mereka dapat merebut peluang yang lebih luas, khususnya dalam sektor industri dan ekonomi baharu di Pulau Pinang.
Antara program yang dirancang termasuk bengkel keusahawanan, kelas pengurusan acara, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta aktiviti sukan sebagai platform pembangunan bakat belia,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Penang Esports MADANI Championship di Sungai Nibong, hari ini.
Hadir sama, Exco Perdagangan, Pembangunan Keusahawanan dan Luar Bandar Pulau Pinang, Datuk Rashidi Zainol.
MPBPP berperanan memastikan penyertaan Bumiputera dalam pembangunan sosioekonomi negeri terus diperkukuh, selain memperluas peluang perniagaan selaras dengan perubahan landskap ekonomi semasa.