PUTRAJAYA, 28 Disember -Program BudayaVerse, platform integrasi seni budaya dan teknologi digital, bakal dilaksanakan dalam skala lebih besar pada masa hadapan susulan sambutan menggalakkan daripada pelbagai pihak.
Program anjuran Cresdo itu berjaya menghimpunkan masyarakat secara fizikal setelah sekian lama berinteraksi melalui platform digital dan alam maya.
Presiden Cresdo, Ts. Shafirul Azmi Suhaimi berkata, penganjuran BudayaVerse bertujuan mengangkat seni budaya ke dalam bentuk teknologi baharu.
"Kami tidak mahu budaya tertinggal, sebaliknya bergerak seiring dengan perkembangan teknologi.
Teknologi tidak terhad kepada kecerdasan buatan (AI) semata-mata, sebaliknya akan terus berkembang dan memerlukan penyesuaian berterusan dalam pendekatan seni dan budaya," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis penutupan rasmi program berkenaan, hari ini.
Tambah beliau, skala penganjuran tahun ini masih kecil, justeru beberapa lokasi berpotensi dikenal pasti untuk penganjuran berskala besar akan datang.
Program selama dua hari berkenaan berfungsi sebagai medium penyatuan komuniti dalam satu ekosistem berimpak tinggi, khususnya dalam menghubungkan seni budaya tempatan dengan teknologi baharu.
BudayaVerse 2025 turut menampilkan Pertandingan Rekaan AI x Budaya, yang menghimpunkan pencipta visual serta penggerak AI untuk mentafsir semula seni budaya Malaysia, disokong rangkaian kreatif melebihi 500,000 ahli.
Inisiatif itu membuka peluang komersial dan mencetuskan inspirasi baharu, sekali gus menjadikan seni budaya Malaysia bukan sahaja khazanah warisan, malah pemacu ekonomi kreatif masa hadapan.
Sementara itu, Naib Presiden Kanan (Perkhidmatan Korporat) Perbadanan Putrajaya, Shamshul Joehari Zainal Mokhtar berkata, program seperti BudayaVerse wajar diteruskan kerana selari dengan usaha memperkukuh elemen budaya dalam masyarakat.
Menurut beliau, Perbadanan Putrajaya sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan Cresdo dalam menganjurkan program berunsur kebudayaan bagi memeriahkan aktiviti komuniti di Putrajaya.