(FOTO JKNK)
PASIR PUTEH, 21 September- Lapan premis diarah tutup oleh Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) kerana tidak mencapai tahap kebersihan ditetapkan.
Ia hasil Operasi Bersepadu Premis Bersih yang dilaksanakan di daerah Pasir Puteh , semalam.
Pengarah JKNK, Datuk Dr Zaini Hussin menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan, berkata semua premis berkenaan diarahkan tutup selama 14 hari bawah Seksyen 11, Akta Makanan 1983.
Menurut beliau, operasi berkenaan melibatkan 52 buah premis makanan yang terletak di sekitar Pasir Puteh dengan kekuatan 77 petugas JKNK.
Sebanyak 109 notis Seksyen 32B turut dikeluarkan kepada pemilik premis dan pengendali makanan atas pelbagai kesalahan kerana melanggar Peraturan-peraturan Kebersihan Makanan 2009.
Beliau berkata, notis kompaun yang paling banyak dikeluarkan adalah membabitkan peraturan 32 iaitu gagal mematuhi kehendak berhubung dengan pakaian pengendali Makanan iaitu sebanyak 91 notis kompaun.
Pemilik premis makanan yang didapati tidak mematuhi elemen-elemen penting kebersihan akan diberi bimbingan untuk mengambil tindakan pembetulan bagi meningkatkan tahap kebersihan di premis mereka.
Bagaimanapun, jika pemilik premis masih tidak mematuhi arahan tindakan pembetulan pada lawatan ke berikutnya, arahan penutupan premis akan di buat di bawah Seksyen 11, Akta Makanan 1983.
Datuk Dr Zaini turut menegaskan, ia menjadi tanggungjawab pemunya premis makanan dan pengendali premis makanan untuk memastikan premis masing-masing berada dalam keadaan bersih pada setiap masa.
(FOTO JKNK)