fb fb fb fb fb

Shahidan henti buat provokasi lafaz “Wallahi Wabillahi Watallahi” - Fahmi

(Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim)

KUALA LUMPUR, 21 September –Bacaan lafaz sumpah “Wallahi Wabillahi Watallahi, sememangnya tidak menjadi kewajiban untuk dibacakan dalam majlis angkat sumpah ahli-ahli parlimen selaras Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat; kaedah sama yang diamalkan dalam penggal parlimen terdahulu.

Demikian tegas Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil menerusi mesej video di aplikasi TikTok mengulas persoalan Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim semasa sidang Dewan Rakyat 19 Julai lalu, iaitu selepas calon Pakatan Harapan (PH), Suhaizan Kayat selesai mengangkat sumpah sebagai ahli parlimen Pulai, susulan kemenangannya pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai, Johor baru-baru ini.

Susulan itu Fahmi mahu Shahidan berhenti membuat provokasi tidak berasas menyatakan bacaan “Wallahi Wabillahi Watallahi” tidak lagi dibaca dalam majlis angkat sumpah ahli-ahli parlimen.

“Datuk Seri Shahidan hentikanlah cubaan membuat provokasi dalam parlimen dengan kenyataan-kenyataan tidak berasas kepada fakta apatah lagi terbukti Datuk Seri Shahidan sendiri sebagai ahli parlimen tidak membaca ungkapan yang datuk seri sebutkan itu,” jelas Fahmi

Ketika sidang parlimen Selasa lalu, Shahidan bertanya mengenai ungkapan itu yang tidak lagi dibaca; sebagai satu kewajiban.

“Tadi masa kita angkat sumpah, dulu kita bukan kata “Wallahi Wabillahi Watallahi”. Saya tanya lupa la? Soal Shahidan kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.

“Tapi dalam peraturan (Peraturan Dewan Rakyat) tak ada", jawab Johari.

Jawapan itu disusuli pertanyaan Shahidan “sekarang arahan siapa yang tak bagi ada"?

Dalam mesej video tersebut, Fahmi turut berkongsi video angkat sumpah beberapa ahli parlimen termasuk Shahidan sendiri, selain Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Abdul Hadi Awang; kesemunya tidak mengungkapkan bacaan “Wallahi Wabillahi Watallahi” itu.

“Ingat semak sebelum sebar, kita sahkan dahulu apa yang kita terima dalam media sosial," nasihat Fahmi kepada semua mengakhiri mesej video tersebut.


(Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil dalam sidang Dewan Rakyat/Foto BERNAMA)

Media Baharu