fb fb fb fb fb

JKNJ sedia kerjasama dengan pihak sekolah, kukuh sokongan kesihatan mental pelajar

Ling Tian Soon

BATU PAHAT, 23 Oktober - Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) sedia bekerjasama dengan pihak sekolah bagi memperkukuh sokongan kesihatan mental dalam kalangan pelajar.

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Ling Tian Soon berkata, langkah itu seiring usaha kerajaan negeri memastikan perkhidmatan kesihatan mental dapat diakses semua lapisan masyarakat.

"Jika pihak sekolah memerlukan khidmat kaunselor atau pakar psikologi daripada Kementerian Kesihatan, kami sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan bagi melaksanakan program dan penglibatan bersama murid-murid," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Sambutan Hari Kesihatan Mental peringkat negeri Johor di Institut Latihan Kesihatan Kementerian Kesihatan (KKM), di sini.
 

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI