fb fb fb fb fb

JKN Labuan keluar 21 notis OSKA, perkasa larangan merokok

Foto JKN Labuan

LABUAN, 13 Mac- Jabatan Kesihatan Labuan mengeluarkan 21 notis kesalahan di bawah Akta 852 menerusi Operasi Penguatkuasaan Bersepadu Undang-Undang Kesihatan Awam (OSKA) sepanjang tiga hari operasi dilaksanakan sehingga semalam.
 
Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan, Dr. Francis Paul menurut kenyataan memaklumkan 75 buah premis perniagaan diperiksa.
 
Pemeriksaan itu membabitkan nilaian notis dikeluarkan sebanyak RM5,250 di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852).
 
Jabatan Kesihatan Negeri memberi penekanan terhadap Akta 852 secara penguatkuasaan pendidikan ‘Tanda Amaran Larangan Merokok’ di semua 28 tempat dilarang merokok.
 
Ini termasuklah di premis yang dikategorikan pusat hiburan yang akan berkuat kuasa sepenuhnya pada 1 April 2025.
 
Menurut kenyataan itu, tidak mempamerkan suatu tanda amaran larangan merokok dalam bentuk sebagaimana yang ditetapkan adalah menjadi satu kesalahan dibawah Seksyen 18(1)(a), Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 dan boleh dikompaun sebanyak RM250.
 
Selain Akta 852, OSKA turut melibatkan pematuhan Akta Makanan 1983 (Akta 281), Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 (Akta 154) dan Akta Pencegahan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dengan 124 premis telah diperiksa serta sebanyak RM5,500 nilaian notis dikeluarkan.
 
Menurut kenyataan itu, operasi kali ini turut dijalankan bersama Jabatan Pelesenan, Jabatan Penguat Kuasa dan Unit Kesihatan Perbadanan Labuan serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM