fb fb fb fb fb

PM arah KKDW segerakan projek infrastruktur asas di luar bandar

Foto Facebook Datuk Seri Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 13 Mac- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) untuk menyegerakan projek-projek infrastruktur asas seperti jalan, bekalan elektrik, bekalan kemudahan solar, bekalan air, jalan perhubungan desa, program ameniti sosial dan projek perumahan rakyat sejahtera di luar bandar.

Menerusi hantaran di Facebook, beliau berkata pelaksanaan projek-projek itu perlu dipantau rapat secara menyeluruh, tepat dan terkini untuk dilaporkan kepada menteri dan seterusnya kepada Kabinet agar isu-isu berbangkit dapat diselesaikan segera.

Beliau turut menekankan keperluan KKDW mengutamakan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) untuk pelajar luar bandar, selain meminta agensi kementerian melaksanakan langkah proaktif dan menetapkan garis masa dan tempoh latihan yang bersesuaian secara berkesan.

Perkara itu dibincangkan Perdana Menteri ketika mempengerusikan mesyuarat bersama pimpinan KKDW diketuai Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah di Putrajaya hari ini.

"Antaranya isu utama yang dibincangkan terkait dengan penambahbaikan serta perubahan mekanisme dan dasar secara teratur, kompetitif serta bersesuaian dengan arus pendigitalan, Science, Technology, Engineering and Mathematics (STEM), selain perubahan ekonomi di peringkat global", katanya menerusi hantaran Facebook.

Usai mesyuarat itu, beliau hadir ke Majlis Ihya’ Ramadan bersama keluarga besar KKDW untuk mengamati tausiah bertajuk “Ramadan Yang Sempurna” oleh Ustaz Asri Hassan.

"Sewaktu kita terus mempertingkatkan amalan ibadah dalam bulan Ramadan, saya percaya warga KKDW terus setia memegang amanah yang luhur memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

"Ikhtiar membantu dan meratakan kesejahteraan juga adalah sebahagian amalan yang juga dituntut dalam agama.

"Semoga dengan dorongan madrasah Ramadan kali ini, ianya pemangkin memacu kekuatan dalaman diri untuk bekerja lebih kuat dan terbaik buat rakyat terbanyak. Saya berdoa agar kita mendapat manfaat dari usaha kecil ini dalam mengangkat martabat dan kualiti insan", katanya.

ROSLINA BINTI DIN