fb fb fb fb fb

JKDM tumpaskan cubaan seludup dadah guna kurier

Foto Fail

KUALA LUMPUR, 2 Ogos- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya menumpaskan cubaan menyeludup keluar dadah bernilai lebih RM3.2 juta melalui perkhidmatan kurier dan kargo udara.

Pengarah Operasi Penguatkuasaan Zon Tengah, Wong Pun Sian dalam satu kenyataan berkata anggota Cawangan Eksport, Bahagian Perkastaman Zon Tengah menahan sebuah lori untuk diperiksa di bahagian belakang Pintu 9 Eksport, Kargo KLIA pada Rabu lalu.

Hasil pemeriksaan ke atas semua bungkusan di dalam lori mendapati empat daripada 24 bungkusan diisi 41.8 kilogram dadah disyaki Methamphetamine dengan nilai RM1.3 juta dan jenis MDMA seberat 25.2 kilogram dengan nilai RM1.8 juta.


(Pengarah Operasi Penguatkuasaan Zon Tengah, Wong Pun Sian/Foto FB JKDM)

Siasatan awal mendapati bungkusan berkenaan akan dihantar ke alamat penerima di Sabah.

Maklumat pengirim disyaki dipalsukan bagi mengelirukan dan mengelakkan dikesan pihak berkuasa.

Siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengesan suspek yang terlibat.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Jika terbukti bersalah, suspek akan dijatuhkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan akan dijatuhkan hukuman sebat tidak kurang 15 sebatan, sekiranya tidak dijatuhkan hukuman mati.

Media Baharu