Penolong Ketua Pengarah Kastam ( Cukai Dalam Negeri) JKDM, Wan Saadah
Mohamed Muhibuddin)
JOHOR BAHRU, 2 Ogos- Jabatan Kastam Diraja Malaysia ( JKDM) menyasarkan 4, 248 pendaftar baharu bagi cukai jualan, perkhidmatan dan pelancongan tahun ini.
Sasaran itu diletakkan hasil operasi khas pengesanan cukai yang dilaksanakan sehingga hujung bulan ini.
Penolong Ketua Pengarah Kastam ( Cukai Dalam Negeri) JKDM, Wan Saadah Mohamed Muhibuddin berkata, operasi dijalankan serentak seluruh negara itu dibuat bagi mengesan pendaftar baharu cukai berkenaan yang mempunyai nilai perolehan tahunan sebanyak RM500,000.
Katanya, operasi tertumpu kepada premis perniagaan, syarikat perhotelan dan kedai-kedai makan yang berpotensi untuk membayar cukai.
"Yang kita mahu supaya mana-mana individu yang belum berdaftar supaya dia daftarkan sebagai pendaftar apabila mereka berdaftar ini mereka akan membayar cukai dengan tepat, betul dan telus," katanya.
Wan Saadah berkata demikian pada program 'Flag Off' Pengesanan Pendaftar Baharu Cukai Jualan, Perkhidmatan dan Pelancongan di Menara Kastam, Johor Bahru.
Seramai 40 anggota JKDM dari stesen Johor Bahru, Kluang, Batu Pahat, Muar dan Kota Tinggi terlibat dalam membantu menjejaki 548 pendaftar baharu di negeri ini yang berpotensi untuk membayar cukai.
(Program 'Flag Off' Pengesanan Pendaftar Baharu Cukai Jualan, Perkhidmatan dan Pelancongan di Menara Kastam, Johor Bahru)