fb fb fb fb fb

"Teladani ketokohan Tun Dr. Ismail Abdul Rahman" - Agong

KUALA LUMPUR, 2 Ogos- Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al- Mustafa Billah Shah menyeru rakyat khususnya para pemimpin untuk menghayati dan meneladani ketokohan serta jasa negarawan, Allahyarham Tun Dr. Ismail Abdul Rahman dalam membangunkan negara.

Baginda menyifatkan Allahyarham sebagai tokoh perpaduan yang berperanan penting dalam mengukuhkan keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama terutamanya pasca-rusuhan dan pasca-perbalahan kaum pada tahun 1969.

"Seri Paduka Baginda bertitah, Allahyarham sepanjang perkhidmatan sebagai Timbalan Perdana Menteri dan anggota Jemaah Kabinet Negara juga telah mempamerkan sifat-sifat insan unggul yang berhemah tinggi, berintegriti dan sentiasa bersedia untuk menyumbang demi negara."

"Justeru, adalah menjadi harapan baginda agar jasa dan pengorbanan Allahyarham tidak hanya menjadi sumber inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia malah wajib dicontohi oleh pemimpin masyarakat dan politik," titah baginda dalam kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook Istana Negara.


(Foto FB Istana Negara)

Dalam pada itu, Seri Paduka Baginda menzahirkan rasa sukacita dan menyambut baik inisiatif kerajaan melalui Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD), mengadakan program bagi memperingati jasa dan bakti Allahyarham sempena sambutan Bulan Kebangsaan 2023.

Selain daripada memberi penghormatan, inisiatif tersebut dapat memupuk semangat patriotik dalam kalangan rakyat, khususnya generasi muda.

Media Baharu