KOTA BHARU, 16 Januari- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan mematahkan cubaan menyeludup 2,460,000 batang rokok putih dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Pulai, Gua Musang, semalam.
Dalam serbuan pukul 2.20 petang pihaknya merampas rokok seludup bernilai lebih RM1.8 juta termasuk cukai itu.
Pengarah JKDM Kelantan, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata, serbuan dilakukan selepas pihaknya melakukan intipan selama dua minggu.
"Serbuan dilakukan di sebuah rumah tanpa nombor yang dijadikan stor. Kedudukan rumah tersorok, sekali gus mengaburi mata pihak berkuasa. Rokok tersebut dibawa masuk ke negeri ini melalui pelabuhan tempatan di pantai barat untuk pasaran tempatan dan luar negeri," katanya ketika ditemui pemberita di sini.
Pihaknya sedang mengesan penghuni rumah dan siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengetahui sama ada pemilik rokok terbabit dalam penyeludupan atau sebaliknya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.
(Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967)