fb fb fb fb fb

JKDM berjaya tumpaskan sindiket edar 'dadah zombi'

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan & Pematuhan), Datuk Sazali Mohamad menunjukkan botol aluminium yang diisi cecair dadah jenis Fentanil

NILAI, 18 Disember- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah antarabangsa jenis Fentanil atau lebih dikenali sebagai 'dadah zombi', buat pertama kali dalam sejarah.

Rampasan bernilai keseluruhan RM44.4 juta itu dilakukan pada 9 Disember lalu di Kompleks Kargo Udara KLIA, Sepang-Selangor.

Menurut Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan), Datuk Sazali Mohamad, dalam serbuan kira-kira pukul 12.30 tengah hari itu, pihaknya menyita 36 buah kotak berisi 72 botol aluminium yang mengandungi bahan cecair disyaki dadah berbahaya jenis Fetanil dengan berat kasar 807.9 kilogram.

"Modus operandi sindiket ini adalah dengan cara membuat pengikraran palsu iaitu mengikrarkan barang yang mengandungi dadah sebagai sebatian pewangi."

Ia bagi mengaburi pihak berkuasa sedangkan di dalamnya terdapat botol aluminium berisi bahan cecair yang disyaki mengandungi dadah berbahaya jenis Fentanil," kata Datuk Sazali kepada pemberita dalam sidang media rampasan JKDM di Cawangan Narkotik Ibu Pejabat Kampung Jijan, Nilai – Seremban.

Siasatan awal mendapati Malaysia merupakan lokasi transit dadah berkenaan yang dibawa dari Lapangan Terbang Antarabangsa Mumbai, India sebelum dihantar ke Dubai.

Kes disiasat bawah Seksyen 39B(1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu, dalam perkembangan sama, JKDM mengumumkan pihaknya telah berjaya menumpaskan 398 kes dadah melibatkan nilai keseluruhan sebanyak RM294.37 juta sepanjang tempoh Januari hingga November tahun ini.

Ia melibatkan antaranya dadah jenis heroin, ketamin, ganja dan metamphetamine.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM