fb fb fb fb fb

JIM tahan 136 PATI, tinggal lebih masa antara kesalahan dikesan

(Datuk Ruslin mengetuai sendiri operasi yang dijalankan awal pagi tadi)

KUALA LUMPUR, 20 Oktober- Seramai 136 pendatang asing tanpa izin (PATI) dicekup dalam satu tindakan operasi penguatkuasaan di sebuah kondominium merah di Jalan Munshi Abdullah, awal pagi tadi.

Operasi yang bermula pukul 1.00 pagi tadi membabitkan penahanan warga Bangladesh, Nepal, Indonesia Pakistan, Thailand dan India.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, operasi melibatkan 338 pegawai pelbagai pangkat serta jabatan antaranya Bahagian Penguatkuasaan, Bahagian Pencegahan ATIPSOM dan AMLA, Bahagian Perisikan dan Operasi Khas serta beberapa cawangan Ibu pejabat Jabatan Imigresen.

Beliau berkata, operasi tersebut turut mendapat bantuan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM)

Kesemua tahanan ditempatkan di Depot Imigresen Semenyih, Selangor untuk siasatan lanjut.

"Operasi ini kita telah buat pemeriksaan seramai 3,016 orang warga asing yang tinggal di dua blok bangunan ini dan hasilnya seramai 136 orang PATI yang berumur antara 20 hingga 70 tahun telah ditahan atas pelbagai kesalahan,"katanya.

Beliau ditemui setelah mengetuai operasi tersebut.

Tambahnya, tindakan penguatkuasaan itu diambil setelah menerima aduan awam berhubung PATI tersebut tanpa Pas dan dokumen pengenalan diri yang sah.

Antara kesalahan yang dikenal pasti ialah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Serbuan itu dilakukan hasil risikan dan aduan orang awam yang mendakwa jumlah warga asing terlalu ramai di kawasan berkenaan sehingga menimbulkan kebimbangan.

Jelas Datuk Ruslin, pihaknya akan menjalankan siasatan dan memanggil pemilik rumah dan pengurusan kondominium bagi mengenal pasti sama ada rumah tersebut disewa majikan atau warga asing itu sendiri.

Difahamkan, kebanyakan warga asing tersebut menyewa bilik di kondominium itu bermula RM500 hingga RM800 sebulan.

Beliau berkata kondominium tersebut pernah diserbu sebelum ini dan beberapa pendatang tanpa izin ditahan.

(Datuk Ruslin Jusoh)

Media Baharu