fb fb fb fb fb

JIM lulus 373, 459 permohonan pekerja asing bagi bagi tempoh 2022

PUTRAJAYA, 9 November - Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah meluluskan 373,459 permohonan majikan untuk membawa masuk pekerja asing melalui Visa Dengan Rujukan (VDR) dari 1 Januari hingga 4 Disember tahun ini.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, angka tersebut adalah daripada keseluruhan 403,869 permohonan yang diterima JIM.

"Kelulusan membawa masuk pekerja asing melalui VDR adalah sebanyak 373,459 manakala baki sebanyak 30,410 sedang diproses dan akan dipertimbang untuk kelulusan dalam masa tujuh hari bekerja.

"Daripada jumlah yang diluluskan tersebut, hanya seramai 254,677 orang pekerja asing atau 68 peratus sahaja yang telah dibawa masuk ke negara ini untuk bekerja," katanya dalam sidang akhbar menerusi lawatan kerja di Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Malaysia, Putrajaya di sini pada Jumaat.

(Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail)

Saifuddin menjelaskan, antara faktor yang menyebabkan pekerja asing tidak dapat dibawa masuk kerana kekangan kesediaan majikan dan halangan lain dari negara sumber pekerja asing.

"Walaupun majikan mendapat kelulusan, keupayaan mereka untuk membawa masuk dari segi kos tanggungan dan sebagainya itu menjadi faktor pertimbangan JIM.

"....di negara sumber warga asing itu sendiri yang mana ada beberapa sistem yang perlu dipenuhi, itu adalah di luar keupayaan kita," jelasnya lagi.

Beliau turut mengulangi komitmen kerajaan perpaduan untuk mempermudahkan proses kemasukan pekerja asing ke negara ini bagi menampung keperluan industri dan sektor ekonomi tempatan.

Sehingga kini, seramai 1.4 juta pekerja asing yang memegang Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) sedang berkerja di negara ini.

Pecahan jumlah tersebut melibatkan tujuh sektor utama antaranya perkilangan (510,507), pembinaan (308,886), perladangan (160,728), perkhidmatan (208,425), pertanian (110,598), pembantu rumah asing (92,338) serta perlombongan dan pengkuarian (142).

Media Baharu