LABUAN, 18 Disember - Jabatan Imigresen Malaysia Wilayah Persekutuan Labuan menahan 10 warganegara Filipina dalam operasi penguatkuasaan di dua lokasi penempatan sekitar Labuan, pada Rabu.
Operasi hasil aduan dan risikan awal itu dijalankan antara pukul 4.30 petang hingga 11.00 malam, melibatkan pemeriksaan terhadap 15 individu.
Mereka ditahan kerana disyaki melanggar Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki pas sah.
Pengarah Imigresen Labuan, Raymond Entalai mendedahkan, jumlah tersebut menjadikan seramai 2,302 individu telah diperiksa dengan 207 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) ditangkap sepanjang tahun ini.
Dalam tempoh sama, seorang majikan disabitkan kesalahan dan didenda RM10,000, manakala sembilan majikan lain turut disabit atas kesalahan melindungi PATI.
Jabatan Imigresen menegaskan operasi penguatkuasaan akan diteruskan secara berterusan dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang imigresen negara, termasuk majikan serta individu yang melindungi pendatang tanpa izin.-RTM