fb fb fb fb fb

Agensi Islam sambut baik kepimpinan baharu, perkukuh tadbir urus Islam

Foto Facebook Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)

PUTRAJAYA, 18 Disember - Agensi-agensi Hal Ehwal Islam menyambut baik pelantikan baharu Menteri dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), dengan harapan kepimpinan itu dapat memperkukuh tadbir urus Islam serta terus memelihara keharmonian masyarakat berbilang agama di negara ini.

Agensi-agensi berkaitan turut menyatakan komitmen untuk bekerjasama rapat dalam memastikan dasar dan pelaksanaan hal ehwal Islam dilaksanakan secara tersusun, inklusif serta berteraskan prinsip maqasid syariah.

Pelantikan kepimpinan baharu dalam portfolio Hal Ehwal Agama dilihat sebagai langkah penting ke arah memperkukuh pengurusan serta penyampaian perkhidmatan hal ehwal Islam kepada masyarakat, termasuk dalam aspek pentadbiran, perundangan syariah dan gerak kerja dakwah di peringkat nasional.

Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata, beliau percaya idea-idea baharu dapat dilaksanakan kepada masyarakat.

“Saya yakin dan percaya beliau mempunyai banyak idea baharu yang boleh kita laksanakan dalam penyampaian perkhidmatan Hal Ehwal Islam kepada masyarakat.

"Dalam konteks perubahan kepimpinan, setiap pihak tentunya mempunyai hasrat tersendiri, namun bersama-sama kita dapat memastikan perkhidmatan kepada masyarakat terus diteruskan, insyaAllah," katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Datuk Mohd Amran Mat Zain, berpandangan kepimpinan itu dapat menyemarakkan martabat perundangan Islam.

“Kami percaya kepimpinan ini akan terus menyemarakkan usaha memartabatkan perundangan Islam serta memperkukuh struktur perundangan dan kehakiman yang diterima oleh masyarakat, khususnya rakyat Malaysia,” katanya.

Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Datuk Dr Hasan Bahrom berkata, pelantikan tersebut menepati tokoh dan matlamat bahagian agama.

“Saya melihat pelantikan ini tepat bagi tokoh yang dipilih dan sejajar dengan matlamat Bahagian Agama. Kehadiran kedua-dua tokoh ini dijangka merancakkan lagi program, gerak kerja dakwah serta perkembangan Islam di Malaysia," katanya.

Dalam pada itu, agensi-agensi Hal Ehwal Islam menyatakan kesiapsiagaan untuk mendukung kepimpinan baharu itu, bagi memastikan pengurusan hal ehwal Islam di negara ini terus diperkukuh selaras dengan kerangka Malaysia MADANI.

MARDHIYAH MOHAMMED ZIN