fb fb fb fb fb

JIM kutip RM3.5 bilion hasil negara setakat 30 Ogos

PUTRAJAYA, 4 September- Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mengutip RM3.5 bilion bagi hasil negara setakat 30 Ogos lepas berbanding RM2.5 bilion bagi tempoh sama tahun lepas.

Ketua Pengarahnya, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata hasil tersebut berjaya dicapai sebelum hujung tahun ini susulan pembukaan semula sempadan negara pada 1 April lepas.

Jelasnya, levi pekerja asing menyumbang kutipan terbesar kepada jabatan itu dengan kemasukan 1.35 juta pekerja asing ke negara ini, diikuti pengeluaran serta pembaharuan Pasport Malaysia Antarabangsa dan kompaun yang dikenakan kepada individu yang melanggar undang-undang ditetapkan JIM.

“Pembukaan semula sempadan negara telah percepatkan JIM capai sasaran kutipan daripada jangkaan asal bagi sepanjang 2022. Ini kutipan hingga Ogos lepas, jadi (kutipan) untuk bulan akan datang (September hingga Disember) akan menjadi bonus.

“Dengan prestasi yang agak baik ini, saya harap Kementerian Kewangan boleh beri sedikit bonus kepada kakitangan JIM,” katanya.


(Ketua Pengarah JIM, Datuk Khairul Dzaimee Daud/ BERNAMA)

Susulan prestasi kutipan itu, beliau tidak menolak kemungkinan JIM mampu mencapai kutipan RM4 bilion menjelang hujung tahun ini dengan pengenalan Program Visa Premium (PVIP) Malaysia.

PVIP dilancarkan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin pada Khamis lalu bertujuan menarik minat hartawan global melabur serta menetap di negara ini bagi tempoh 20 tahun, dan akan dibuka untuk permohonan mulai 1 Oktober ini.

Khairul berkata demikian pada sidang media selepas menyertai Immigration Run 2022 di Putrajaya.

Dalam perkembangan lain, Khairul berkata pihaknya memberikan kerjasama penuh kepada Jawatankuasa Siasatan yang ditubuhkan pada 7 Ogos lepas bagi menyiasat dakwaan insiden melibatkan seorang pegawai tinggi kerajaan dan pegawai Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Sehingga kini, katanya pegawai Imigresen KLIA telah memberikan kenyataan dan maklumat tambahan kepada jawatankuasa terbabit yang dipengerusikan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun bagi menyiasat insiden yang dilaporkan berlaku pada 3 Ogos lepas.

“Tidak banyak maklumat yang boleh saya berikan cuma apa yang saya boleh maklumkan adalah pegawai saya telah selesai memberikan keterangan dan bekalkan maklumat berkaitan kepada jawatankuasa berkenaan,” katanya.

Media Baharu