fb fb fb fb fb

Jerebu: Kurangkan aktiviti luar darjah, elak risiko masalah kesihatan

(FOTO RTM)

IPOH, 4 Oktober- Pihak pengurusan sekolah di Perak dinasihatkan mengurangkan aktiviti luar bilik darjah bagi mengelakkan risiko pelajar berdepan masalah kesihatan akibat jerebu dan cuaca panas.

Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, A Sivanesan berkata, pihaknya sedang berbincang dengan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) bagi melaksanakan langkah-langkah pencegahan.

"Buat masa ini aktiviti dalam kelas dan luar bilik darjah tiada masalah memandangkan kadar bacaan IPU tidak teruk.

"Masalahnya ialah aktiviti pada sesi persekolahan petang. bukan sahaja jerebu, suhu yang mencecah 34 darjah celcius. Kita minta dikurangkan aktiviti-aktiviti seperti berlari atau seumpamanya dihentikan", katanya kepada pemberita di bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini.

Tambahnya, setakat ini tiada sebarang peningkatan kes melibatkan masalah kesihatan biar pun terdapat kawasan yang mencatat indeks pencemaran udara (IPU) tidak sihat.

Sebelum ini, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) hanya akan dilaksanakan sekiranya sekolah ditutup jika bacaan IPU melebihi 200.

Beliau berkata pihak sekolah diminta untuk sentiasa memantau bacaan IPU sebelum membuat sebarang tindakan.


(Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional
Perak, A Sivanesan/FOTO RTM) 

Media Baharu