
PUTRAJAYA, 29 Ogos – Kementerian Kesihatan (KKM) mempertingkatkan pemantauan kesihatan awam susulan keadaan jerebu yang semakin meruncing apabila 30 stesen Indeks Pencemaran Udara (IPU) di seluruh negara merekodkan bacaan tidak sihat dan sangat tidak sihat setakat pagi tadi.
- Peningkatan ketara kes berkaitan jerebu minggu epidemiologi ke-34, termasuk lonjakan kes asma dan konjunktivitis.
- Jangkitan Saluran Pernafasan Akut menurun hampir 50 peratus kepada 1,857 kes.
- Tiada kematian akibat komplikasi jerebu dilaporkan setakat ini.
- KKM menasihati orang ramai kurangkan aktiviti luar, pakai pelitup N95 jika perlu, minum air secukupnya, dapatkan rawatan segera.
Menurut KKM, pihaknya turut mengesan peningkatan ketara kes penyakit berkaitan jerebu bagi Minggu Epidemiologi ke-34.
“Kes asma meningkat kepada 1,811 kes berbanding 219 kes minggu sebelumnya, manakala konjunktivitis atau sakit mata melonjak kepada 720 kes berbanding 146 kes.
“Bagaimanapun, kes Jangkitan Saluran Pernafasan Akut menurun hampir 50 peratus kepada 1,857 kes.
“Tiada kematian akibat komplikasi jerebu dilaporkan setakat ini,” menurut kenyataan itu.
KKM menasihati orang ramai, khususnya kanak-kanak, warga emas, wanita hamil serta pesakit asma dan penyakit paru-paru kronik, supaya mengurangkan aktiviti di luar rumah, memakai pelitup muka N95 jika perlu berada di luar, minum air secukupnya serta mendapatkan rawatan segera sekiranya mengalami sesak nafas, batuk berterusan atau iritasi mata.
KKM akan terus memantau perkembangan keadaan jerebu bagi memastikan kesihatan dan kesejahteraan awam sentiasa terpelihara.
Terdahulu, Sri Aman, Sarawak merekodkan bacaan IPU 222, sekali gus menjadi satu-satunya kawasan dalam kategori sangat tidak sihat,setakat pukul 8.00 pagi tadi.
Sebanyak 29 stesen lain berada pada tahap tidak sihat, termasuk di Sarawak, Perak, Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Putrajaya, Perlis dan Johor.