
PUTRAJAYA, 29 Ogos — Seramai 72 rakyat Malaysia di Darchen, China, disahkan selamat dan berada dalam keadaan sihat.
- 36 rakyat Malaysia masih belum dapat dihubungi akibat gangguan telekomunikasi susulan banjir dan tanah runtuh di Nepal.
- Kedutaan Malaysia di Beijing bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa China dan ahli keluarga untuk menghubungi individu terbabit.
- Maklumat disemak bersama laporan di Nepal bagi mengenal pasti pertindihan sementara proses pengesahan diteruskan.
- Bilik Operasi Kementerian beroperasi 24 jam; hubungi +603 8887 4570 atau dadutyofficer@kln.gov.my untuk maklumat.
Manakala 36 lagi masih belum dapat dihubungi susulan gangguan telekomunikasi akibat banjir dan tanah runtuh di Nepal.
Kementerian Luar Negeri (KLN) berkata, Kedutaan Besar Malaysia di Beijing sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa China dan ahli keluarga bagi menghubungi 36 rakyat Malaysia berkenaan.
“Kedutaan Besar Malaysia di Beijing sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa China dan ahli keluarga untuk menghubungi individu berkenaan.
“Maklumat yang diterima turut disemak dengan laporan mengenai rakyat Malaysia di Nepal bagi mengenal pasti sebarang pertindihan, sementara proses pengesahan diteruskan,” menurut kenyataan KLN hari ini.
KLN yang juga dikenali sebagai Wisma Putra berkata, bantuan konsular turut diberikan kepada 72 rakyat Malaysia di Darchen, termasuk membantu urusan perjalanan mereka untuk meninggalkan Wilayah Autonomi Tibet, China.
Pada masa sama, 55 rakyat Malaysia di Nepal masih dilaporkan belum dapat dihubungi.
Manakala dua lagi rakyat Malaysia kini berjaya dihubungi.
Di Nepal, Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu terus bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dan agensi berkaitan bagi mendapatkan kepastian mengenai keselamatan serta keberadaan rakyat Malaysia yang masih belum dapat dihubungi.
Operasi mencari dan menyelamat di Nepal masih diteruskan.
Setakat 5 petang waktu Nepal (7.15 malam waktu Malaysia) pada 28 Ogos, seramai 771 orang telah diselamatkan termasuk 116 warganegara asing, namun tiada rakyat Malaysia dikenal pasti dalam senarai rasmi berkenaan.
Bilik Operasi Kementerian di Putrajaya telah beroperasi 24 jam sejak 27 Ogos lalu bagi menyelaras maklumat dan membantu rakyat Malaysia di kawasan terjejas serta ahli keluarga mereka.
Rakyat Malaysia di kawasan terjejas serta ahli keluarga yang mempunyai maklumat berkaitan boleh menghubungi Kementerian melalui +603 8887 4570 dan emel dutyofficer@kln.gov.my.