KUALA LUMPUR, 9 Oktober - Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan keadaan jerebu dalam negara tidak akan berpanjangan memandangkan tiupan angin yang kerap berubah.
Bagaimanapun, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, operasi pembenihan awan akan dilakukan sekiranya Indeks Pencemaran Udara (IPU) semakin merosot iaitu mencecah 151 hingga 200 melebihi 24 jam.
"Operasi pembenihan awan hanya boleh dilakukan dalam beberapa keadaan agar ia berkesan.
"MET Malaysia menyediakan ramalan sehingga lima hari pergerakan jerebu rentas sempadan menggunakan model ramalan pergerakan", kata Nik Nazmi di sini.
Sementara itu, beberapa ahli parlimen mengemukakan cadangan bagi mengatasi masalah jerebu rentas sempadan.
Ahli Parlimen Simpang Pulai,Tan Kar Hing berkata kerajaan perlu mengkaji semula perjanjian ASEAN berkaitan Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan yang ditandatangani pada 2002.
"Saya mencadangkan satu kajian semula bagi melihat segala perincian dalam perjanjian berkenaan, supaya kita ada persefahaman dalam memerangi jerebu", kata Kar Hing.
Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abdul Kadir pula berkata kerajaan perlu mendesak Indonesia bagi mencari penyelesaian jangka panjang serta memfokuskan pencegahan kebakaran hutan.
"Sudah tiba masanya, Malaysia mendesak Indonesia merealisasikan penyelesaian jangka panjang yang dijanjikan pada sidang kemuncak PBB di Paris.
"Selain itu, Indonesia perlu memfokuskan pendekatan mencegah kebakaran hutan", kata Shahrizukirnain.
(Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim)