fb fb fb fb fb

Kerajaan salur dana RM1 juta ke Palestin

KUALA LUMPUR, 9 Oktober- Kerajaan akan menyalurkan dana sebanyak RM1 juta kepada tabung Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) yang dikendalikan Kementerian Luar, susulan konflik keganasan dan pertempuran di Palestin.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata ia merupakan langkah segera Malaysia bagi menyalurkan sumbangan kemanusiaan kepada rakyat Palestin.

"Sebagai tanda solidariti saya menyeru ahli yang berhormat yang berada di luar dan dalam dewan ini untuk turut sama-sama menghulurkan sumbangan ke dalam tabung yang telah disediakan di luar dewan atas persetujuan Speaker.

"Saya harap tabung itu dapat diisi dan (hasil kutipan itu) kita serahkan kepada Kementerian Luar," katanya ketika menggulung sesi penerangan menteri berhubung Perkembangan Semasa Konflik Palestin-Israel di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Terdahulu ketika membentangkan usul berkenaan Ahmad Zahid memaklumkan, Malaysia kekal dengan pendirian agar hak mutlak Palestin dikembalikan.

Ia merangkumi bebas daripada pendudukan haram Israel; kembalikan tanah yang telah dirampas; dan membentuk sebuah negara berdaulat dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.

(Anthony Loke Siew Fook (kanan), Ahmad Zahid Hamidi (tengah) dan Mohamad Alamin)

Sementara itu, berkenaan jumlah stok beras dalam negara masih mampu untuk menampung keperluan bagi tempoh empat hingga lima bulan, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu.

Perkara itu berdasarkan stok bekalan beras yang direkodkan sehingga 3 Oktober lepas iaitu sebanyak 820,482 tan metrik merangkumi 250,000 tan metrik stok penimbal kerajaan dan 570,482 tan metrik stok dagangan.

Sehingga 7 Oktober lalu sebanyak 708,978 kampit beras putih tempatan (BPT) 10 kilogram diedarkan di seluruh Semenanjung menerusi rantaian peruncit seperti pasar raya, outlet Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP).

Daripada jumlah itu sebanyak 423,816 kampit (60 peratus) dihantar ke pasar raya, FAMA 109,829 kampit (16 peratus), LPP iaitu 60,240 kampit (sembilan peratus) dan sebanyak 115,093 kampit (16.2 peratus) dihantar kepada 103 pemborong edaran runcit.

Pada sesi sama Mohamad Sabu memberi respon ahli Parlimen Titiwangsa Datuk Seri Johari Abdul Ghani supaya harga siling padi berada pada harga siling beras iaitu RM1,200 atau lebih tinggi.

"Sekarang ini harga satu kilogram beras berada pada harga RM2.60 dan dicadangkan harga beras nanti berada pada harga sekitar RM3.20 satu kilogram. Ini akan menyebabkan para pengguna akan merasai kenaikan harga itu."

Bagaimanapun Johari turut mencadangkan kerajaan untuk membantu golongan B40 kerana ingin menggalakkan pendapatan penanam padi meningkat selain tidak membebankan pengilang.

"Cadangan ini amat baik, saya kira esok pagi saya akan ke Kementerian Kewangan untuk dimasukkan ke dalam Belanjawan 2024," katanya.

Media Baharu