fb fb fb fb fb

Jengkaut tersangkut di kabel: Dua maut akibat renjatan elektrik

TANJUNG MANIS, 19 Ogos- Dua maut dipercayai terkena renjatan elektrik selepas sebuah jengkaut yang dibawa menggunakan sebuah lori tersangkut di kabel elektrik di Jalan Semalau menghala ke Kampung Jerijeh Tanjung Manis, pagi tadi.

Menurut Ketua Zon Empat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Janggan Muling, pihak bomba menerima panggilan mengenai kejadian itu pada pukul 9:15 pagi.

“Pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Tanjung Manis terus bergerak ke lokasi kejadian dan setibanya di tempat kejadian didapati kebakaran melibatkan sebuah lori yang membawa jengkaut yang tersangkut pada kabel elektrik.

“Dua lelaki ditemui tidak sedarkan diri, berkemungkinan terkena renjatan elektrik dan telah disahkan meninggal oleh pihak perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di tempat kejadian,” katanya.

Salah seorang mangsa dikenal pasti sebagai Hi Sieh King, 61 tahun manakala identiti seorang lagi mangsa masih belum diketahui.

Pihak Bomba Tanjung Manis bersama enam anggota dan seorang pegawai hanya dapat melakukan kerja-kerja pemadaman kebakaran selepas aliran elektrik diputuskan oleh pihak SESCO.

Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas pemeriksaan oleh pihak kesihatan.

Mayat telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.


(Lori tersangkut di kabel elektrik di Jalan Semalau  pagi tadi yang meragut dua nyawa)

Media Baharu