fb fb fb fb fb

Pensyarah USM dan adik, dipenjara tiga tahun akibat rasuah

BUTTERWORTH, 19 Ogos- Seorang pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) dan adik lelakinya dijatuhi hukuman penjara tiga tahun dan denda sebanyak RM807,475 oleh Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Butterworth.

Kedua-duanya didapati bersalah atas sembilan pertuduhan salah guna kuasa dengan meluluskan syarikat milik adik kandungnya, MK Urusniaga (M) Sdn Bhd membekalkan pelbagai barangan bagi jabatan tempat dia bekerja 10 tahun lalu.

Hukuman dijatuhkan terhadap Profesor Badaruddin Mohamed, 56 tahun dan Mustafa Kamal, 50 tahun oleh Hakim Zulhazmi Abdullah selepas pihak pembelaan gagal membuktikan keraguan munasabah di akhir pembelaan.

Mahkamah juga turut memerintahkan mereka dipenjara antara sebulan hingga enam bulan mengikut pertuduhan jika gagal membayar denda.

Keputusan itu dibuat selepas pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Azlan Basri dan pembelaan diwakili peguam, Shamsul Sulaiman masing-masing mengemukakan hujah dan rayuan.

Mahkamah bagaimanapun, membenarkan hukuman itu ditangguhkan dan tertuduh masing-masing diikat jamin RM8,000 selepas peguam mengemukakan rayuan untuk menfailkan notis rayuan di Mahkamah Tinggi.

Mereka turut diminta untuk menyerahkan pasport selain melaporkan diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setiap bulan sehingga kes rayuan selesai.


(Selain itu, pesalah di denda sebanyak RM807,475 oleh Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Butterworth)

Media Baharu