KULAI, 4 Januari- Kementerian Komunikasi memberi gambaran, Projek Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) fasa kedua, berpotensi untuk dimulakan pada tahun ini.
Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata, ketika ini, 1,460 daripada keseluruhan 1,661 projek menara telekomunikasi fasa pertama berjaya didirikan dan 1,087 daripadanya, beroperasi sepenuhnya.
"Kita sudah berbincang dengan pembekal perkhidmatan, disini maksudnya adalah syarikat telco jika menara dah ready, kalau dalam tempoh masa sembilan bulan tak boleh disambungkan dengan gantian optik.
"Sekurang-kurangnya kamu perlu menggunakan teknologi satelit atau apa-apa sahaja penyelesaian interim yang bersesuaian," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Kampung Angkat Madani, Felda Bukit Permai, di sini.
Dalam pada itu baki projek fasa pertama dijangka akan diselesaikan pada tahun ini.
Selain itu, Kerajaan Negeri, Pejabat Tanah dan Pejabat Daerah di kawasan terlibat, diseru untuk bekerjasama memperhalusi isu tanah yang menjadi antara kekangan utama projek itu.
Manakala prestasi pihak kontraktor yang gagal menyiapkan projek mengikut jadual akan diambil kira semasa pemilihan pelaksana untuk JENDELA fasa kedua nanti.