fb fb fb fb fb

JENDELA: Fahmi gesa pembinaan menara siap dalam tempoh ditetapkan

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 26 November- Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menggesa agar pembinaan menara telekomunikasi di bawah projek Fasa 1 Jalinan Digital Negara (JENDELA) dapat disiapkan mengikut tempoh masa ditetapkan.

Jelas beliau, pembinaan menara tersebut perlu disegerakan dalam mengurangkan jurang literasi digital sekali gus mempercepat kesalinghubungan digital negara.

"Daripada segi usaha kerajaan, melalui program seperti JENDELA kita dapati daripada 1,661 menara yang telah siap dibina setakat ini, bukan semua yang telah diaktifkan oleh syarikat-syarikat telekomunikasi.

Jadi, usaha kerajaan adalah untuk memastikan menara-menara yang telah siap dibina perlu dihidupkan ataupun beroperasi secepat mungkin," kata Fahmi kepada pemberita selepas berucap di TowerXchange Meetup Asia 2024 di ibu negara.

Terdahulu , beliau menyuarakan kebimbangan terhadap kelewatan pembinaan menara di bawah Fasa 1 JENDELA khususnya di Sabah.

Sehubungan itu, beliau berkata terdapat keperluan untuk merombak keseluruhan proses pelaksanaan Fasa 2 JENDELA bagi memastikan keberkesanan program tersebut.

Dalam pada itu, cadangan pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia (Akta 588) bertujuan untuk menangani masalah akaun palsu yang semakin berleluasa di platform media sosial, bukan untuk mendedahkan data peribadi pengguna.

Tegas Fahmi, pindaan tersebut untuk memastikan bahawa setiap akaun media sosial yang wujud adalah sah dan boleh dipertanggungjawabkan.

"Saya rasa kita tidak berniat untuk melindungi penipu, pedofilia, pembuli. Undang-undang adalah sangat jelas. Idea kita adalah membawa ke Parlimen satu set undang-undang untuk menangani wabak jenayah yang sedang berhijrah ke media sosial.

Pada masa ini, ia adalah ancaman semasa terhadap keselamatan dan privasi Malaysia. Maka, kita perlu ambil pendirian tegas," tambah Fahmi.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM