KOTA BHARU, 12 Disember -Anggota tentera, yang terkorban dalam nahas membabitkan trak milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan sebuah kereta di Jalan Kota Bharu-Kuala Krai, Bukit Belah, Machang, semalam, selamat dikebumikan pada 3.30 petang tadi.
Jenazah Sarjan Fahmey Darus, 39 tahun dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Nibong, Padang Kala, Kota Bharu mengikut istiadat ketenteraan.
Allahyarham sebelum itu, dibawa pulang dari Unit Forensik Hospital Machang ke rumahnya di Kampung Kedai Baru, Padang Kala, Kota Bharu, sebelum disolatkan di Masjid Mukim Padang Kala yang diimamkan anak sulungnya, Ahmad Dhia UrrRahman Fahmey, 14-tahun.
Kakak Allahyarham, Haniza Darus, 55 tahun berkata, kali terakhir berjumpa Fahmey pada 3 Disember lalu dan ketika itu Allahyarham tidak banyak bercakap seperti kebiasaannya.
Katanya, ketika itu Allahyarham turut menolak ajakan keluarga untuk makan bersama di kedai makan milik salah seorang kakaknya.
Menurutnya, Allahyarham sebelum ini seorang yang peramah dan mesra dengan ahli keluarga selain suka bercerita, namun Rabu lalu dia berubah menjadi pendiam.
"Dalam masa seminggu ini dia (arwah) tak banyak cakaplah, hari Rabu kali terakhir saya jumpa dia di kedai kakak saya. Kami ada makan-makan tapi apabila kami ajak dia dia taknak dia menolak dia taknak makan taknak minum tak banyak cakaplah sepatah dua patah gitu je cakap banyak bercerita," kata Haniza.
Allahyarham meninggalkan seorang isteri, Nurmuzalifah Yahaya, 40 tahun seorang anggota tentera yang bertugas di Kem 8 Briged, Pengkalan Chepa, Kota Bharu serta lima anak berusia di antara 3 hingga 14-tahun.
Media melaporkan, nahas yang mengorbankan seorang anggota tentera berpangkat Sarjan di Kilometer 37.8, Jalan Kota Bharu-Kuala Krai dekat Bukit Belah, Machang semalam dipercayai berpunca daripada sebuah kereta yang gagal memotong sebelum bertembung dengan sebuah trak ATM dinaiki mangsa.