fb fb fb fb fb

Jenazah Putri Alleya Maisarah, dituntut ibu saudara

KUALA TERENGGANU, 5 Julai- Jenazah kelapan mangsa tragedi fenomena kepala air Jeram Air Putih, sudah dituntut ahli keluarga untuk dibawa pulang bagi urusan pengebumian, malam ini.

Jenazah Allahyarham Putri Alleya Maisarah, 16, dituntut ibu saudaranya, Rosilawati Kassim, 49, sebelum dibawa pulang menaiki van jenazah ke Felda Lepar Hilir 3, Gambang, Pahang.

Menurut Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Hanyan Ramlan, "mayat Putri Alleya Maisarah ditemukan petang semalam di kawasan beting berhampiran mangsa kedua yang ditemukan Ahad lalu."

Semalam, tujuh jenazah mangsa masing-masing Karim Abdullah (suami), 39, Azizah Eiyi (isteri), 40 serta lima anaknya selamat dikebumikan dalam satu liang lahad kira-kira pukul 11.52 malam.

Lima anak pasangan itu, Putri Balqis Izzati Abdul Rahman, 18; Putri Nurerina Natasya Karim, 10; Muhammad Zulqarnain Haikal Karim, 11; Muhammad Haziq Ziqree Karim, 6 dan Putri Aryana Umaira Karim, 4, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Lepar Hilir 3 dalam satu liang lahad.

Setakat ini, dua lagi mangsa iaitu Putri Nor Fatin, 14, dan Muhammad Fikri Saliman, 24, tunang kepada Putri Balqis Izzati masih belum ditemukan.

Bagaimanapun usaha mencari dan menyelamat (SAR) akan disambung pada Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) bermula esok.

(Jenazah Putri Alleya Maisarah dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Felda Lepar Hilir 3)

 

Media Baharu