fb fb fb fb fb

DE Rantau@Ipoh semarakkan sektor pelancongan, ekonomi Perak

(Datuk Seri Saarani melancarkan Program DE Rantau@Ipoh hari ini)

IPOH, 5 Julai- Pelancaran Program DE Rantau@Ipoh diharap dapat menyemarakkan lagi sektor pelancongan di Perak.

Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata usaha itu sejajar dengan salah satu daripada enam agenda aspirasi rakyat dalam Pelan Perak Sejahtera 2030, iaitu merancakkan pembangunan ekonomi digital.

Ujarnya Ipoh menjadi salah satu pilihan utama nomad digital disebabkan permintaan tinggi oleh komuniti tersebut.

"Ipoh kini salah satu lokasi bagi program DE Rantau selepas Pulau Pinang, Langkawi, Kuala Lumpur dan Melaka. Pemilihan negeri ini dapat melonjakkan bandar raya Ipoh.

"Kita berharap dengan perkembangan baharu ini, ia dapat menyemarakkan lagi pelancongan sempena Tahun Melawat Ipoh dan Tahun Melawat Perak 2024," katanya kepada pemberita selepas melancarkan program tersebut di Ipoh.


(Menteri Besar Perak,  Datuk Seri Saarani Mohamad)

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Mahadhir Aziz; Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri, Loh Sze Yee dan Exco Komunikasi, Multimedia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Mohd Azlan Helmi Helmi.

Program De Rantau merupakan salah satu inisiatif strategik nasional yang diperkenalkan di bawah Program Mangkin Malaysia Digital (PEMANGKIN).

Pelancarannya bertujuan meletakkan Malaysia sebagai hab pilihan utama warga nomad digital asing dan menggalakkan mobiliti dalam kalangan warga profesional digital antarabangsa selain memperkasakan sektor pelancongan negara di mata dunia.

Berdasarkan rekod tahun 2022, Perak antara negeri tumpuan dengan merekodkan seramai 14.6 juta pelawat domestik.

Media Baharu