fb fb fb fb fb

Jenazah Muhammad Akil Syauqi selamat dikebumikan

Muhammad Akil Syauqi, disahkan meninggal dunia ketika sedang menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang pada pukul 8.30 pagi tadi.

BALING, 10 Julai - Jenazah kanak-kanak lelaki berusia 3 tahun yang meninggal dunia selepas termakan keropok segera yang dicampur dengan racun tikus, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Banggol Berangan di sini selepas solat Isyak malam tadi.

Muhammad Akil Syauqi, disahkan meninggal dunia ketika sedang menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang pada pukul 8.30 pagi tadi.

Manakala adiknya, Muhammad Luth Syauqi, 2 tahun, yang kritikal kini sedang dirawat di hospital yang sama.

Terdahulu jenazah Muhammad Akil Syauqi tiba di rumah keluarganya selepas selesai proses bedah siasat di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Pulau Pinang, petang tadi.

Jenazah kemudian dibawa ke Surau Lebai Ahmad, Kampung Banggol Berangan untuk disolatkan sebelum di bawa ke tanah perkuburan bersebelahan untuk upacara pengebumian.

Suasana sedih dan pilu menyelubungi tanah perkuburan yang dipenuhi ahli keluarga, sanak saudara dan penduduk setempat.

Dalam kejadian 7 Julai lalu, mangsa bersama adiknya dikatakan mengikut datuk mereka mencari lembu di kawasan berdekatan di Kampung Padang Ubi, Labu Besar, Kulim.

Kedua-dua kanak-kanak berkenaan kemudian pulang semula ke rumah dengan membawa bungkusan keropok.

Ibu kanak-kanak berkenaan, Nurain Hasnorizal, 25 tahun memaklumkan, kedua-dua anaknya itu menggelupur seperti diserang sawan selain muntah-muntah sebelum dibawa untuk mendapatkan rawatan.

Ketua Polis Daerah Kulim, Supritendan Mohd Azizul Mohd Khairi dalam kenyataan berkata, dua kanak-kanak berkenaan kritikal selepas termakan keropok segera yang mengandungi racun tikus.

Siasatan awal mendapati, kedua-dua mangsa telah mengambil dan memakan satu peket keropok segera yang tergantung di dawai besi pagar yang mengandungi racun bagi tujuan untuk memerangkap monyet.

Siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat dibawah Seksyen 31 (1) (a) Akta 611 dan Seksyen 284 Kanun Keseksaan.

BERITA BERKAITAN:

GRACE AISYAH KEDAYAN