fb fb fb fb fb

Jenayah seksual pelajar di Kelantan membimbangkan - Polis

KOTA BHARU, 20 September- Penglibatan pelajar dengan jenayah seksual sama ada menjadi mangsa atau pelaku di Kelantan membimbangkan dengan membabitkan 188 pelajar bagi tahun ini.

Ketua Polis negeri, Datuk Muhammad Zaki Harun berkata, 35 kes daripadanya adalah pelajar sekolah rendah, malah lebih membimbangkan terdapat dalam kalangan mereka telah terjebak pada usia muda.
 
"Setengahnya umur terlalu muda, paling muda setakat ini adalah pelajar sekolah sembilan tahun dan kes keseluruhannya pula ada yang umur enam tahun, ini tak sekolah. (Ia) lebih kepada kes amang seksual, cabul dan sebagainya.

"Kita tidak boleh biarkan dan kita akan bertindak dengan pelbagai cara, sebab itu saya memerlukan pegawai perhubungan sekolah, baik di pihak polis mahupun di pihak pendidikan, mesti sama-sama mencari jalan untuk memberi penerangan (kepada isu) ini," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kelantan di sini.

Tambah beliau, kebanyakan kes tersebut berlaku dengan cukup mudah iaitu hasil perkenalan menerusi laman media sosial
 
Justeru, usaha berterusan akan digerakkan bersama Jabatan Pendidikan Negeri dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk memberi penerangan terhadap jenayah seksual.
 
Sementara itu, pihaknya turut memandang serius kes buli dalam kalangan pelajar di negeri itu dan mahu ibu bapa memainkan peranan mereka bagi mengekang peningkatan kes terbabit.

Sebanyak 13 kertas siasatan kes buli membabitkan pelajar dicatatkan tahun ini, namun beliau percaya jumlah berkenaan tidak termasuk kes yang tidak dilaporkan kepada polis.

(Muhammad Zaki Harun) 

Media Baharu