KUALA LUMPUR, 16 Oktober - Sebanyak 47,854 jenayah penipuan dalam talian direkodkan di negara ini sehingga September 2025, membabitkan nilai kerugian melebihi RM1.9 bilion.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, angka itu menunjukkan peningkatan sebanyak 12,482 kes berbanding tempoh yang sama tahun lalu.
"Ini benar-benar menggambarkan bahawa begitu banyak mangsa yang terlibat dan melihat kepada situasi ini, kerajaan tegas melaksanakan, serta mengukuhkan langkah-langkah dalam memerangi jenayah ini.
"Pertama dari aspek perundangan, kerajaan telah membuat pindaan ke atas Kanun Keseksaan Akta 547 bagi menangani kes jenayah siber, khususnya penipuan kewangan melibatkan penggunaan akaun keldai.
"Melalui peruntukan Seksyen 424A, 424B, 424C dan 424D, Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini mempunyai kuasa lebih kukuh dan tegas untuk menyiasat dan mendakwa dengan mengenakan hukuman lebih berat terhadap individu yang didapati terbabit dalam penggunaan instrumen bayaran atau membenarkan akaun mereka digunakan sebagai akaun keldai," katanya.
Kerajaan turut menjalin kerjasama di peringkat antarabangsa dengan pelbagai agensi keselamatan, seperti Polis Antarabangsa (Interpol), Biro Siasatan Persekutuan (FBI) dan negara-negara ASEAN dalam pertukaran maklumat risikan dan siasatan rentas sempadan.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan semasa persidangan Dewan Rakyat.