KUALA LUMPUR, 16 Oktober- Malaysia menegaskan komitmen untuk memperkukuh kerjasama tenaga serantau ASEAN menerusi pelaksanaan beberapa inisiatif penting di bawah peranannya sebagai pengerusia ASEAN tahun ini.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga ASEAN ke-43 (AMEM) yang berlangsung hari ini merupakan detik penting dalam merangka hala tuju tenaga rantau berkenaan bagi tempoh lima tahun akan datang.
“Mesyuarat ini bukan lagi sekadar perbincangan, tetapi menjadi langkah pelaksanaan sebenar untuk memacu keselamatan tenaga dan mempercepat peralihan tenaga di ASEAN,” ujar beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air.
"Mesyuarat kali ini merupakan detik penting. Kita bergerak melangkaui peringkat perbincangan kepada pelaksanaan, bagi melaksanakan dan memperkukuh keselamatan tenaga ASEAN serta memberi manfaat kepada lebih 670 juta penduduk." katanya.
Di bawah tema “Powering ASEAN: Bridging Boundaries, Building Prosperity”, Malaysia menekankan kepentingan memperkukuh hubungan serantau agar manfaat peralihan tenaga dapat dinikmati semua lapisan masyarakat.
Antara hasil utama yang diumumkan ialah pelancaran Pelan Tindakan Kerjasama Tenaga ASEAN (APAEC) Fasa II: 2026–2030, pertukaran dokumen bagi Memorandum Persefahaman Dipertingkat ASEAN Power Grid (APG), serta Perjanjian Rangka Kerja Keselamatan Petroleum ASEAN (AFAPS).
Datuk Seri Fadillah berkata inisiatif ini menjadi asas penting bagi memperkukuh perdagangan kuasa rentas sempadan dan ketahanan tenaga serantau terhadap gangguan bekalan global.
Malaysia turut mengumumkan Inisiatif Pembiayaan APG (APGF) bagi menarik pelaburan infrastruktur tenaga serta memacu pelaksanaan projek grid kuasa ASEAN.