fb fb fb fb fb

Pengurusan bencana mesti bebas politik

Foto fail / BERNAMA

KUALA LUMPUR, 16 Oktober -Pengurusan bencana negara tidak seharusnya dipengaruhi perbezaan politik, sebaliknya menjadi tanggungjawab bersama semua pihak demi keselamatan rakyat.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, bagi menghadapi kesan Monsun Timur Laut (MTL), koordinasi menyeluruh diperlukan antara kerajaan Persekutuan dan negeri termasuk komuniti setempat.

“Soal bencana ini tidak ada warna politik. Kita tangani tanpa perbezaan warna. Semua pihak perlu bekerjasama termasuk Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), jawatankuasa bencana negeri dan daerah serta semua agensi terlibat untuk menggerakkan usaha menyelamat dan membantu penduduk terjejas,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan SME Venture @ ASEAN 2025 di sini, hari ini.

Menurut Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid, kesiapsiagaan kerajaan kini berada di tahap tinggi dengan koordinasi awal bersama NADMA dan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia).

Jelas beliau, langkah itu bagi memperkukuh sistem amaran awal serta memastikan pemindahan mangsa dapat dilakukan segera sebelum banjir berlaku.

“Kesiapsiagaan ini penting kerana kita mahu menyelamatkan nyawa, dokumen penting dan harta benda.

Dengan kerjasama MET, sistem amaran awal akan digerakkan supaya pemindahan dibuat sebelum air naik,” ujarnya.

Timbalan Perdana Menteri turut menyentuh mengenai Persidangan Pengurusan Bencana ASEAN yang dihadiri beliau di Phnom Penh, Kemboja.

Persidangan itu membincangkan langkah koordinasi serantau dalam menghadapi lebih 6,000 bencana besar dan kecil di rantau ASEAN.

Katanya, meskipun laporan awal menjangkakan kesan MTL tahun ini lebih sederhana, kerajaan tetap mengambil langkah berjaga-jaga dengan persiapan rapi di semua peringkat.

“Saya sendiri telah ke Temerloh pada Isnin lalu untuk menyelaraskan kesiapsiagaan menghadapi monsun.

Kita berharap kesannya tidak besar, tetapi persiapan mesti tetap dilakukan,” katanya.

Bagi jangka panjang, kerajaan memperuntukkan RM3.205 bilion untuk menangani isu banjir termasuk pembangunan infrastruktur mitigasi.

Selain itu, RM460 juta khusus disalurkan kepada NADMA tahun depan.

“Yang penting bukan jumlahnya, tetapi keberkesanan pelaksanaannya serta penerimaan masyarakat.

Kita mahu pastikan setiap tindakan benar-benar memberi kesan kepada rakyat,” ujarnya.

Beliau turut menyeru rakyat di kawasan berisiko tinggi atau “red spot” supaya mematuhi arahan pihak berkuasa dan memberi kerjasama kepada pasukan penyelamat serta agensi kerajaan.

FARIS IZZAT SHAHARUDIN