fb fb fb fb fb

Jemaah haji diminta waspada dengan cuaca panas

Foto BERNAMA

MEKAH, 25 Mei- Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi menyarankan para jemaah haji pada musim ini supaya mengelakkan pendedahan berpanjangan kepada cahaya matahari, kekal terhidrat, dan berehat di kawasan teduh, khususnya ketika berada di Padang Arafah.

Ketua Rombongan Haji Malaysia, Mohd Hisham Harun, turut menasihatkan agar para jemaah berada dalam khemah pada waktu tersebut demi menjaga keselamatan dan kesihatan masing-masing.

"Ini kerana dijangkakan pada waktu wukuf dan waktu berada di Mina, cuaca akan menjadi lebih panas seperti tahun lepas, melebihi 50 darjah Celsius. Demi menjaga keselamatan jemaah haji, adalah disarankan jemaah haji berada dalam khemah pada waktu tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perhimpunan Petugas Haji 1446 Hijrah di Ibu Pejabat Tabung Haji di sini.

Sementara itu, Mohd Hisham menekankan pentingnya semangat kerjasama dan saling membantu dalam kalangan petugas Lembaga Tabung Haji untuk memastikan kelancaran operasi haji musim ini. 

"Kita akan cuba memastikan semua jemaah haji Malaysia pada tahun ini dapat berwukuf di Arafah.

"Insha-Allah, kita akan pastikan bahawa walaupun mereka berada di Pusat Rawatan Tabung Haji, mereka tetap akan dibawa menaiki bas melalui Safari Wukuf untuk berada di bumi Arafah," katanya.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM