fb fb fb fb fb

Jemaah haji diingat jaga tanda pengenalan setiap masa

Foto RTM

MEKAH, 25 Mei- Jemaah haji Malaysia diingatkan supaya sentiasa menjaga tanda pengenalan yang diberikan oleh Lembaga Tabung Haji (TH) setiap masa ketika di tanah suci. 

Pengurus Khidmat Pelanggan, Zaini Rashid berkata pemakaian gelang itu dapat meningkatkan aspek keselamatan dan memudahkan bantuan diberikan dengan lebih pantas jika berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini. 

"Seorang wanita berusia 53 tahun telah pengsan di Pintu 339, menyebabkan rakan-rakannya panik. Mujur beliau memakai gelang tangan, mereka segera menghubungi pihak di Mekah walaupun kejadian berlaku di Madinah.

"Kami berhubung dengan pasukan TH Madinah, dan alhamdulillah, perkara itu dapat diselesaikan dengan baik.

"Inilah kelebihan dan kepentingan memakai gelang tangan. Setiap jemaah perlu memakainya demi keselamatan dan pengenalan diri," katanya ketika ditemui pemberita di Ibu Pejabat Tabung Haji di sini.

Sementara itu, jemaah haji yang ditemui menyambut baik pemakaian gelang besi yang mengandungi maklumat penting; berfungsi sebagai tanda pengenalan diri jemaah haji tanah air. 

Menurut jemaah haji, Datuk Jamawi Jaafar, pemakaian gelang itu memudahkan pergerakan dan pengenalan, khususnya sekiranya berlaku kecemasan atau tersesat.

"Ia memudahkan untuk mengenali jemaah Malaysia. Yang baiknya, kualiti bagus. Ia tidak tajam, selesa untuk dipakai," katanya.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM