fb fb fb fb fb

Jemaah B40 dan M40 yang terpilih selepas rayuan perlu bayar kos penuh haji

(FOTO FAIL)

MEKAH, 22 Jun - Jemaah haji B40 dan M40 yang terpilih ke Tanah Suci pada tahun ini selepas rayuan mereka diterima perlu membayar jumlah penuh RM30,850 kerana tidak berada dalam giliran untuk tunai haji pada tahun semasa.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata berdasarkan giliran tahun ini keutamaan diberikan kepada mereka yang terpilih untuk menunaikan haji pada 2020, 2021 dan 2022 yang tertangguh akibat COVID-19.

(Datuk Dr. Mohd Na'im Mokhtar)

"Apabila ada kekosongan kerana jemaah lain tolak atas sebab tertentu, kita buka giliran kepada mereka yang berada di luar giliran. Giliran mereka ini mungkin pada 2025, 2026 atau 2027 dan layak menerima bantuan kewangan haji pada tahun-tahun itu.

"Tetapi apabila mereka ini membuat rayuan dan berjaya, polisi rayuan ialah mereka semestinya ada kemampuan atau istito'ah jadi perlu bayar penuh," katanya ketika sesi ramah mesra bersama jemaah haji di Ibu Pejabat Tabung Haji (TH) Mekah, Abraj Al-Janadriyah di sini, pada Rabu.

Bayaran untuk jemaah haji Muassasah bagi kumpulan B40 yang pertama kali menunaikan haji tahun ini kekal pada kadar RM10,980 seorang, RM15,980 bagi M40 dan kumpulan T20 perlu membuat bayaran penuh.

Tambah Mohd Na'im, terdapat 60,000 pendeposit Tabung Haji (TH) yang sedang menunggu giliran dan sanggup membayar jumlah penuh kos haji tetapi tidak terpilih pada tahun ini.

"Terdapat juga 69 jemaah haji B40 dan M40 yang menerima tawaran menunaikan haji pada tahun ini menolak bantuan kewangan kerana sedar bahawa istito'ah adalah asas wajib dalam menunaikan haji," katanya.

Media Baharu