fb fb fb fb fb

Jelapang padi Sabah, Sarawak, bantu tingkat pengeluaran beras negara

KUALA LUMPUR, 10 Oktober- Cadangan mewujudkan jelapang padi di Sabah dan Sarawak dijangka berupaya membantu pengeluaran bekalan beras negara pada masa akan datang.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata dengan adanya jelapang padi kedua di negeri berkenaan, ia dapat menghasilkan padi sekitar 50 hingga 60 peratus berbanding kurang lima peratus sekarang.


(Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu)

"Kerajaan persekutuan, kerajaan negeri berganding bahu terutama dalam membina infrastruktur yang baik dan boleh diusahakan dalam sektor tanaman padi supaya kalau berlaku apa-apa masalah di sebelah Malaysia barat, Sabah dan Sarawak boleh menampung", katanya dalam sebuah rancangan terbitan RTM.

Berhubung stok beras, beliau berkata jumlah stok sedia ada beras masih mencukupi bagi tempoh empat hingga lima bulan untuk menampung keperluan dalam negara ketika ini.

Menurutnya, sehingga 7 Oktober lepas sebanyak 708,978 kampit beras putih tempatan (BPT) 10 kilogram telah diedarkan di seluruh Semenanjung melalui rantaian peruncit seperti pasar raya, rantaian premis serta outlet Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP).

FAMA dan LPP diberi peranan dalam tempoh intervensi, manakala pasar raya dan pemborong, peruncit terus diberi peranan utama memasarkan BPT di pasaran.

Program ini dilaksanakan dalam tempoh setahun bagi memastikan bekalan BPT stabil, cukup dan terjamin.

Media Baharu